Apabila Lamaran Kita Ditolak


Rakan-rakan pembaca yang saya doakan agar Allah rahmati, terima kasih kerana terus menyelak lembaran karya ini.
Setelah kita bicarakan perihal lamaran dalam bab yang lepas, kita sedar bahawa antara jawapan kepada lamaran kita ialah penolakan. Ya, jangan nafikan kemungkinan untuk pengakhiran yang sedemikian. Ini bukannya cerita fantasi di mana watak utama(kita lah tu) sentiasa mendapat apa yang dikehendakinya.
Jika ditolak, apa yang perlu dilakukan?
Apakah kita akan menangis dan patah hati? Hidup seperti mayat hidup, kecewa tak terkata hingga rasa putus asa dengan bahagian-bahagian lain dalam kehidupan kita? Apakah kita akan bertindak jauh dengan perkara yang tidak bermoral seperti mengelar lengan, terjun bangunan atau menggantung diri kita?
Ya, mungkin kerana warna cinta pada hari ini dikawal oleh ‘pihak-pihak tertentu’ yang menguasai media dan selebriti, lantas adegan-adegan tadi akan menjadi tayangan pada minda tanpa sedar kita, sekaligus seakan tawaran pilihan untuk kita melaksanakannya.
Ini antara sebab mengapa saya menyeru agar kita bersihkan terlebih dahulu definisi cinta, pada awal buku ini, dan juga pada Buku Sebelum Aku Bernikah yang pertama. Kerana apabila definisi cinta kita itu bersih, maka jiwa dan minda kita akan bersih dari pilihan-pilihan yang tidak bermoral saat apa yang kita hajati tidak tercapai di medan ini.
Sedih, perkara biasa
Rakan-rakan pembaca yang saya kasihi,
Bila ditolak, dan kita bersedih, itu perkara biasa. Apa yang dihajati tidak kesampaian, pastilah kita rasa seperti tidak kena. Saya sendiri bukan orang yang asing untuk situasi ini kerana saya sendiri pernah ditolak ketika melamar perempuan yang saya cintai.
Cerita yang lebih detail berkait hal itu telah saya kongsikan pada Buku Sebelum Aku Bernikah: Berusaha Mencapai Mampu. Namun apa yang boleh saya kongsikan di sini ialah, saya bangkit dari kesedihan itu.
Alhamdulillah, dengan bantuan rakan-rakan, dan suntikan positif terutamanya daripada Ummi Abah, membuatkan saya tidak lama bersedih, dan terus menyambung kehidupan seperti sedia kala bahkan bergerak ke arah yang lebih baik lagi.
Perkara biasa bersedih. Yang tidak kenanya adalah apabila kita memanjang-manjangkan kesedihan.
Berilah masa pada diri, sehari dua untuk berduka. Namun letakkan azam untuk bangkit dan perhatikanlah semula tujuan utama mengapa kita mengembara menongkah samudera sebagai seorang pencinta.
Untuk menggapai keredhaan Allah SWT sebenarnya.
Bukan untuk si fulan atau si fulanah yang menolak kita tadi. Tertolaknya lamaran kita tidak bermakna Allah SWT tidak meredhai kita. Itu tandanya Dia mahu memberikan kita yang lebih baik. Atau boleh jadi, itu sebagai sebuah teguran kasih sayang daripadaNya kepada kita, hendak menyatakan bahawa kita perlu memperbaiki diri kita lagi.
Nah, maka untuk apa berduka dengan panjang?
Bangkit dan teruskan perjalanan!
Mencuba Lagi Sekali?
Ditolak tidak bermakna semuanya berakhir. Kadang penolakan bukan bermakna orang yang kita lamar itu tidak mahu dengan kita, benci atau tidak suka dengan kita. Kadangkala mungkin mereka terkejut, dan secara spontan menolak lamaran kita. Semuanya adalah kerana mereka memerlukan lebih banyak masa.
Maka tidak salah untuk mencuba sekali dua lagi, jika kita memang benar-benar berhajat kepada dirinya. Namun jangan terlalu mendesak dan terlalu dekat dengan waktu penolakan. Berikan masa. Kemudian cuba minta wakil kita tanyakan kepadanya, mengapa kita ditolak.
Ada yang menolak kerana memang tidak berkenan dengan kita. Jika ini jawapannya, tidak perlu kita paksakan lagi. Anggaplah sahaja kita dengannya tidak punya jodoh, walaupun kita hakikatnya tidak tahu apakah aturan Allah SWT antara kita dengannya. Biarlah itu menjadi rahsia Allah SWT, pada masa yang sama kita berusaha dengan apa yang kita tahu. Apa yang kita tahu sekarang, dia menolak kita dan tidak berkenan dengan kita. Maka apa yang boleh kita usahakan ialah tidak lagi mengharapkan perasaan kita dibalasinya, dan kita pun mula bergerak untuk mencari yang mungkin boleh menerima kita.
Ada pula yang menolak kerana mungkin ada perkara yang tidak selesai pada diri kita, yang diperhatikan olehnya. Jika ini sebabnya, boleh minta dirinya jelaskan apa perkaranya, dan apakah jika kita selesaikan perkara tersebut, dia akan boleh menerima kita?
Jika jawapannya ya, maka tidak rugi mencuba. Mungkin ada sesuatu yang dia ingin kita buktikan. Seperti meninggalkan sesuatu sikap buruk, seperti cemerlang dalam pelajaran, atau apa sahaja selagi mana ianya berlandaskan syariat. Ini pun jika kita benar-benar berhajat kepadanya.
Jika kita rasa apa yang dihajatinya itu tidak relevan, tidak syara’, sekadar mengada-ngada dan tidak membawa apa-apa manfaat kepada diri kita, abaikan sahaja dan fokuslah kepada usaha mencari yang lain.
Ada lagi yang hanya memerlukan masa sebagaimana yang saya nyatakan pada awal tadi. Mereka ini, kita berikan masa. Jangan terlalu lama, agar ianya tidak membazirkan waktu kita, juga emosi kita. Kerana setiap masa yang terluang, sebenarnya menambah risiko terhadap diri kita. Jika jawapan pada akhirnya adalah ‘iya’, menanti lama pun memang tidak menjadi masalah. Namun bayangkan jika akhirnya jawapan adalah ‘tidak’, sudah pasti kita rasa seperti tertipu dan dikhianati menanti sebegitu lama.
Untuk mengelakkan hal yang sedemikian, berikan masa yang selayaknya. Sebulan dua sudah cukup sesuai. Jika mahu lebih lagi, setahun mungkin. Itupun sudah besar risikonya kepada emosi kita sebenarnya. Namun ini semua bergantung kepada diri masing-masing. Apa yang penting ialah kita merancang dengan baik, dan membuat pilihan yang terbaik untuk diri kita sendiri, serta pastikan itu semua akhirnya memberikan manfaat dan kebaikan kepada kita.
Jauhi Perkara-perkara Yang Memudaratkan Selepas Ditolak
Rakan-rakan pembaca, apabila ditolak, jauhilah perkara-perkara yang tidak memberikan manfaat, bahkan mungkin memudaratkan diri kita.
Elakkan terlalu melayan perasaan. Jangan kurung diri kita di dalam bilik, menangis berseorangan. Ini semua memudahkan syaitan untuk menyusup masuk ke dalam minda dan jiwa kita, seterusnya memberikan cadangan-cadangan yang bakal memudaratkan diri kita lebih jauh lagi.
Jangan sesekali mencadangkan diri sendiri untuk membunuh diri baik dengan apa cara sekalipun. Terasa seperti mayat hidup adalah biasa pada awal-awalnya. Namun kita perlu merasainya dengan perasaan mahu bangkit dari situasi tersebut. Bukan melayaninya hingga menjadi lebih kronik, sampai merasakan kehidupan langsung tidak bermakna.
Tangani semua ini dengan bermasyarakat, bergaul dengan rakan-rakan, beriadhah, beraktiviti bersama keluarga, mengeratkan hubungan kita dengan Allah SWT dan sebagainya, yang mampu menunjukkan kepada kita bahawa dunia ini masih belum berakhir.
Antara yang banyak membantu saya untuk segera keluar dari kesedihan ditolak ialah keluarga, dan sistem usrah. Saya mengikuti usrah, dan biasanya usrah kami diadakan seminggu sekali. Seminggu selepas ditolak, saya pergi ke usrah seperti biasa dan berkongsi pengalaman pahit saya itu dengan ketua usrah, dengan rakan-rakan. Untung apabila saya memang sentiasa berkongsi dengan mereka akan perkembangan hidup saya, justeru apabila berita penolakan itu sampai kepada mereka, rakan-rakan seusrah saya banyak memberikan motivasi dan sokongan moral.
Yang paling besar sebenarnya dalam hal ini ialah Ummi Abah. Itu satu lagi yang saya rasa sangat sangat beruntung apabila tidak pernah langsung mengenepikan mereka dalam urusan cinta saya. Semenjak awal saya menyukai perempuan yang saya cintai itu, Ummi Abah adalah yang pertama tahu. Setiap progress saya kongsikan dengan mereka. Apabila ditolak, saya hubungi Ummi, dan Ummi memberikan kata-kata semangat.
Dengan bantuan keluarga dan rakan-rakan, saya tidak rasa keseorangan, putus asa dan lemah yang berpanjangan. Tidak rasa hendak melakukan perkara yang memudharatkan. Saya bangkit dan meneruskan kehidupan.
Saya yakin, jika anda ditolak, anda juga akan mampu menyelamatkan diri anda.
InsyaAllah. Saya mendoakan.
Muhasabah Diri
Bila jiwa sudah tenang dan lapang, ambil lah masa untuk melaksanakan proses muhasabah terhadap diri kita, sebelum kita terus hendak mencari orang lain sebagai pasangan hidup kita. Kita tidak mahu orang yang seterusnya kita cari ini sekadar ‘pengganti’ kepada yang asalnya kita suka.
Berikan diri masa dan rehatlah dari perihal cinta dan jodoh ini buat sementara. Berikan sebulan atau dua bulan untuk diri anda bertenang. Sambil itu jadikannya sebagai medan muhasabah.
Apa yang kurang lagi berkait diri kita?
Ibadah mana yang belum selesai, dan maksiat mana yang belum kita tinggal. Teliti, kenali, dan perbaiki. Mungkin sahaja penolakan berlaku adalah kerana Allah SWT tahu bahawa kita masih belum layak untuk fasa yang seterusnya. Sebagai tanda kasih kepada kita, Allah halang kita untuk maju ke hadapan, agar kita tidak maju untuk kegagalan yang lebih besar. Allah mahu kita lebih bersedia. Maha kasih Allah SWT. Memang kadang kita tidak tahu apa yang Dia aturkan buat kita.
“Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” Surah Al-Baqarah ayat 216.
Bukanlah bermakna kita perlu menanti hingga kita sempurna barulah kita bergerak kembali melamar seseorang. Itu tidak realistik, kerana kita tidak akan mencapai kesempurnaan.
Cukuplah kita usaha apa yang termampu, dan apabila kita rasakan sudah tiba masanya untuk bergerak mencari pasangan hidup, kita mulakan langkahan kita dengan keyakinan dan pergantungan kepada Allah SWT.
InsyaAllah apabila kita melaksanakan proses ini, Allah SWT akan memberikan yang terbaik buat kita.
Untuk diri saya, semasa dalam proses muhasabah diri ini, pada bulan yang ketiga, Allah SWT berikan perempuan yang saya cintai itu menerima saya semula. Dialah yang menjadi isteri saya pada hari ini, ibu kepada anak-anak saya.
Untuk rakan-rakan lain yang ditolak, mungkin Allah SWT tidak memberikan lelaki/perempuan yang anda cintai menerima anda. Tetapi mungkin Allah SWT gantikan dengan pasangan yang jauh lebih baik, insyaAllah. Semuanya sebenarnya di tangan Allah. Maka bukankah pertamanya kita perlu buat yang terbaik dalam menjaga hubungan kita denganNya?
Yakinlah dengan Allah SWT.
Allah SWT itu tidak pernah menzalimi hamba-hambaNya.
“Macam mana jika sampai mati tak ada jodoh, asyik ditolak sahaja?”
Yakinlah bahawa segala ujian dan cabaran itu, ada pahalanya buat kita jika kita laluinya dengan sabar dan tabah. Jikalah sampai ke mati pun Allah tak gantikan dengan sesiapa, yakinlah akan wujudnya syurga buat mereka yang melepasi ujian dalam dunia yang fana ini. Di sana, pastilah Allah SWT sudah sediakan habuan yang baik buat kita, bukan sekadar pasangan dari kalangan bidadari atau bidadara, tetapi juga tempat tinggal yang baik serta kenikmatan yang tiada taranya.
InsyaAllah.
Itulah pentingnya memahami cinta yang sebenar. Akhirnya kita sedar bahawa ini semua hakikatnya hanyalah wasilah dalam mencari keredhaan Allah SWT. Apa yang penting adalah keredhaan Allah SWT itu tadi.
Kita menyukai seseorang, melamarnya, semuanya dalam proses hendak memenuhi perintah Allah SWT. Apakah kita fikir Allah SWT akan mempersiakan manusia yang bersungguh-sungguh menjaga syariatNya, mencari keredhaanNya?
Muhasabah.
Sumber: Hilal Asyraf dari Langit Ilahi (23198)

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »

Yakinlah ada sesuatu yang menantimu selepas banyak kesabaran yang kau jalani yang akan membuatmu tersenyum hingga kau lupa pedihnya rasa sakit.

Adakah Anda Masih Belum Bertemu JODOH?