Erti Perkahwinan



Perkahwinan adalah suatu ikatan yang teguh antara lelaki dan perempuan melalui suatu akad nikah yang sah untuk menjalani kehidupan berumahtangga sebagai suami isteri. Perkahwinan disyariatkan dalam Islam bertujuan untuk mengembangkan zuriat manusia melalui cara yang halal sebagai penyambung keturunan untuk kesejahteraan dunia dan akhirat.

Namun, kerana indahnya sebuah perkahwinan, ramai di kalangan kita yang lupa akan perkara-perkara asas berkenaan perkahwinan seperti makna perkahwinan, hukum-hukum di dalamnya, persediaan dan pelbagai lagi.

Di dalam Al-Quran terdapat banyak ayat-ayat disebut tentang perkahwinan yang ditujukan secara langsung atau tidak langsung kepada manusia sesuai dengan tuntutan fitrah semulajadinya. Antaranya:
Firman Allah s.w.t
“Wahai manusia! Bertaqwalah kepada Tuhanmu yang menjadikan kamu daripada diri yang satu (Adam). Dia (Allah) menjadikan daripada diri Adam dan isterinya dan mengembang biak daripada kedua-duanya ramai lelaki dan perempuan….”

Firman Allah lagi:
“dan kahwinkanlah orang-orang yang bujang (lelaki dan perempuan) diantara kamu, dan orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberi kekayaan kepada mereka dengan kurniaanNya, kerana Allah maha luas (rahmat dan limpah kurniaNya), lagi maha mengetahui. ”

Selain itu, Rasulullah Salalhu ‘Alayhi Wa Salam turut menyentuh tentang perkahwinan di dalam beberapa hadis baginda. Antaranya:
“Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud katanya, Rasulullah SAW bersabda kepada kamu: Wahai kumpulan anak-anak muda! Barangsiapa di antara kamu yang mampu berkahwin hendaklah berkahwin. Kerana sesungguhnya perkahwinan itu menutup pandangan dan memelihara kemaluan. Tetapi barangsiapa yang tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa sebab yang demikian itu akan menahan nafsunya.”

Dijelaskan dalam hadis di atas bahawa Rasulullah SAW memerintahkan umatnya yang mempunyai kemampuan dan keupayaan supaya berkahwin, kerana perkahwinan merupakan tuntutan syariat dan sunnah Nabi saw. Antara faedah yang ketara di sini ialah seseorang itu dapat menjauhkan diri daripada perkara negatif atau perbuatan keji yang dilarang oleh Allah Taala seperti berbuat zina dan sebagainya. Sekiranya seseorang itu tidak mampu berkahwin hendaklah dia berpuasa itu dapat mengekang nafsu syahwat.


Hikmah Berkahwin




Dalam perkahwinan juga terdapat makna tersirat, kebaikan, faedah dan hikmah yang ditentukan oleh Allah swt. Faedah dan hikmah tersebut boleh dilihat dan difikir oleh akal manusia, namun hanya Allah sahaja yang benar-benar mengetahuinya secara tersirat.

DI ANTARA FAEDAH DAN HIKMAHNYA IALAH:
1. Supaya manusia itu hidup berpasangan menjadi suami isteri yang sah bagi mengatur dan membangunkan rumahtangga dengan janji-janji setia (akad nikah) sehidup semati.

2. Supaya perhubungan lelaki dan wanita akan lebih bermakna lagi di sisi Allah dengan ikatan dan pertalian yang kukuh di mana tidak mudah putus atau diputuskan.

3. Membangunkan masyarakat dari asas-asas rumahtangga yang damai dan berdisiplin.

4. Supaya dapat melahirkan keturunan bangsa manusia yang diakui sah serta kekal pula dalam masyarakat dan negara.

5. Supaya dapat menumpukan perasaan mahabbah, kasih sayang, tanggungjawab seorang suami kepada isteri, seorang bapa kepada anaknya, seorang datuk kepada cucunya dan seterusnya dari sebuah masyarakat kepada negara.

6. Perkahwinan membuka pintu rezeki serta nikmat hidup.

7. Perkahwinan memelihara agama, kesopanan, kehormatan dan kesihatan.

8. Menyempurnakan naluri manusia bagi mendapat kepuasan nafsu dan keinginan syahwat serta menjauhkan diri dari gangguan godaan maksiat dan kezalinan yang amat dilarang oleh agama.
        Grey / Moonshine Knockaround Classic








Faktor Asas Dalam Perkahwinan



Memandangkan kelengkapan ajaran Islam dalam menjamin kesejahteraan rumah tangga, keturunan dan keselamatan umat, maka syariat Islam telah mengadakan beberapa peraturan hukum perkahwinan agar manusia tidak akan tergelincir ke dalam kerosakan dan kehancuran kerana sudah menjadi fardhu ain terhadap orang Islam yang mengaku dirinya Islam wajib mempelajari hukum-hukum Allah termasuk dalam urusan perkahwinan.

Namun, apalah erti sebuah perkahwinan andai tiada kebahagiaan dan ketenangan padanya. Terdapat beberapa faktor penting yang perlu diasaskan dalam perkahwinan bagi mengecapi kebahagiaan. Antaranya:

Perkahwinan hendaklah diasaskan dengan rasa taqwa kepada Allah
Taqwa adalah suatu sifat yang sering diperkatakan, namun cukup kuat dalam segala urusan kehidupan kita. Ia adalah seperti alat perhubungan antara kita dengan Allah. Tanpa taqwa, dikhuatiri perkahwinan itu tidak akan mencapai kepada matlamatnya, tambahan pula berkahwin merupakan ibadat dan sunnah.

Perkahwinan hendaklah juga diasaskan kepada rasa ‘Mawaddah wa Rahmah’
Mawaddah bererti cinta manakala Rahmah bererti kasih sayang. Kedua-dua sifat ini perlu ada dalam sebuah perkahwinan. Tanpa kedua-dua perkara ini, sebuah perkahwinan itu seolah-olah kosong dan meletakkan ia kepada suatu situasi yang merbahaya dibimbangi boleh membawa kepada perceraian.

Perkahwinan juga perlu berasaskan kepada amanah dan tanggungjawab
Amanah dan tangungjawab juga merupakan perkara asas yang wajib ada dalam perkahwinan bukan kahwin untuk memenuhi kehendak nafsu semata-mata. Suatu amanah hendaklah ditunaikan dengan sebaik-baiknya, sementara tanggungjawab dilaksanakan dengan jujur dan ikhlas hati.



Adakah Anda Masih Belum Bertemu JODOH?