Hukum Bermain Dengan Perasaan Tetapi Tidak Mempunyai Niat


"Sekiranya kita sedang mengalami kegagalan bercinta,
Jangan bermain dengan perasaan,
Kerana ia akan mendikan diri kita lemah
Dalam menangani situasi ataupun membuat keputusan, lelaki biasanya lebih mendahulukan akal. Manakala sifat wanita lebih mengutamakan perasaan.
Sifat mengutamakan perasaan, tanpa mengira lelaki ataupun perempuan, adakalanya menjadi kelemahan dalam diri. Pada zaman Rasulullah SAW, apabila seorang wanita daripada kabilah Makhzumiah mencuri, Rasulullah SAW tanpa ragu-ragu menjatuhkan hukuman potong tangan.
Rasulullah seorang yang lemah lembut. Namun semasa menegakkan hukum Allah, ketegasan baginda luar biasa. Baginda tidak bermain-main dengan perasaannya.
Semasa orang Quraisy meminta Usamah bin Zaid mengajukan kepada Rasulullah supaya hukuman diringankan, Rasulullah marah.
Baginda berkata, “Wahai manusia, apa yang menyebabkan binasanya umat-umat sebelum kamu adalah apabila mereka mengetahui ada orang mulia yang mencuri, mereka membiarkannya. Tetapi, apabila mereka mendapati ada orang lemah yang mencuri, mereka menjatuhkan hukuman. Demi Allah SWT, sekiranya Saidatina Fatimah binti Muhammad yang mencuri, aku memotong tangannya.” [hadis ini direkodkan oleh Al-Bukhari dan Muslim]
Sikap tegas Rasulullah SAW perlu ada pada para hakim supaya apabila mereka menjatuhkan hukuman, mereka tidak dimainkan oleh perasaan. Mereka tetap tegas. Hukuman perlu dijalankan tanpa mengira status dan pangkat.

Usah Bermain Dengan Perasaan!

Begitu juga yang perlu kita tetapkan dalam hati, tidak bermain dengan perasaan, sekiranya kita sedang mengalami kegagalan bercinta. Maka jangan bermain dengan perasaan!
Ini kerana, ia akan menjadikan diri kita lemah dan berasa seolah-olah tiada yang lebih baik daripada dirinya, dan tiada yang mampu menggantikan kedudukannya, dan tiada yang dapat mengisi relung hati kita selain dirinya.
Begitu yang terjadi apabila perasaan memainkan peranan. Apa yang timbul adalah rasa kerdil, pandangan sempit, dan sikap-sikap yang membuatkan diri menjadi lemah dan dikasihani, seperti mengeluh, bersedih dan meratapi kegagalan.
Mari sejenak kita mengamati kisah Ummu Salamah apabila beliau kehilangan suami tercinta, iaitu Abu Salamah Al-Makhzumi. Beliau merasakan tiada orang dapat menggantikan tempat suaminya.
Apabila para pembesar daripada kalangan sahabat masuk meminang, semua pinangan ditolak.
Allah SWT tidak pernah lalai kepada janji-Nya. Doa wanita mulia itu dimakbulkan selepas Allah SWT memilih beliau sebagai seorang daripada Ummul Mukminin, apabila Rasulullah meminangnya.
Beliau akhirnya mendapat seorang pengganti yang jauh lebih baik daripada suaminya. Tidak lain tidak bukan, semulia-mulia manusia yang turut dipuji oleh Allah SWT, iaitu Rasulullah SAW.
Oleh itu, keyakinan perlu sentiasa ditanam dalam hati. Walaupun apa pun yang menimpa diri, kita perlu berlapang dada. Lihat semua masalah dengan kaca mata iman, bukan perasaan.
Ini penting kerana, ada kalanya iman dikalahkan oleh perasaan, sehingga timbul penyesalan kepada apa yang menimpa diri sekali gus menyalahkan takdir.

Adakah Anda Masih Belum Bertemu JODOH?