Kahwin Muda dan Duit



Kahwin pada usia muda tanpa adanya income, bagaimana?
Pertama sekali, istilah kahwin awal tiada sebenarnya. Saya tidak percaya bahawa adanya istilah kahwin muda dalam Islam. Islam mengajar untuk kahwin sedia, bukan kahwin muda atau tua.
Kahwin tidak patut diukur dari segi umur kerana masa bukan faktornya. Fokus kita telah silap apabila kita melihat persediaan kahwin dari segi faktor umurnya. Realitinya, faktor yang dikira adalah kematangan. Awal atau lewat bukanlah persoalannya.
Ibarat buah-buah atas pokok, setiap satunya ada waktunya yang tersendiri untuk masak dan dipetik. Dalam suatu masa, banyak buah yang masak tetapi tidak mustahil bahawa ada yang belum masak lagi. Samalah juga seperti umur.
Kematangan itu ada kaitannya dengan umur dan rata-rata kita mengharapkan orang akan matang dengan umur yang meningkat. Tetapi, umur tidak menentukan kematangan. Ia hanya berkait (correlational) tetapi ia tidak menentukan (causational).
Jika seseorang itu matang pada usia 20 tahun, sebagai contoh, maka dia sesuai untuk berkahwin sekiranya dia ingin kahwin. Tetapi sekiranya umur seseorang itu 40 tahun sekalipun tetapi tiada kematangan diri, maka kurang sesuai untuk dia kahwin.
Apakah kematangan yang dimaksudkan? Kematangan yang dimaksudkan adalah kematangan dari segi fizikal, intelektual, spiritual, dan emosional. Khususnya kematangan emosional dan lebih khusus lagi adalah kematangan dari segi mengawal kemarahan dan ego. Dua perkara ini adalah penyebab besar mengapa sesebuah rumahtangga itu boleh retak dan mungkin hancur.
Sekiranya seseorang itu tidak punyai kawalan atas kemarahannya dan atas egonya, walaupun umurnya sudah tua, maka kurang sesuai untuk dia berkahwin. Itu boleh kita sifatkan sebagai belum bersedia untuk kahwin.
Ukur persediaan untuk berkahwin pada tahap kematangan diri, bukannya pada lama mana diri ini sudah hidup atas muka bumi ini. Untuk hidup lama tidak susah, tetapi untuk matang dalam kehidupan itu yang mencabar.
Keduanya, bercakap soal duit pula, tiada yang akan kata duit itu tidak penting untuk perkahwinan ataupun untuk apa-apa perkara dalam kehidupan. Duit merupakan satu keperluan dalam kehidupan. Islam tidak menghalang manusia daripada mencari duit, malah menggalakkannya lagi. Apa yang Islam bawa adalah panduan agar duit yang dicari itu halal dan digunakan pada perkara-perkara yang sepatutnya.
Dalam masa yang sama, Islam juga mendidik umat manusia untuk tidak ditenggelami sifat tamak dan kedekut apabila bercakap soal duit. Tidak kiralah sama ada seseorang itu kaya ataupun miskin, setiap daripada kita harus mengingati perkara ini agar kita tidak lari daripada landasan sebenar.
Sekali lagi, kita tersilap sekiranya kita melihat persediaan kahwin dari segi faktor duit i.e. duit banyak baru boleh kahwin. Fokus kita perlu dialihkan daripada kaya atau miskin seseorang itu kepada kemahirannya dalam mencari rezeki yang halal dan tahap pengurusan wangnya.
Seseorang itu mungkin kaya, tetapi dia tidak mencari rezeki yang halal dan dia boros dalam pengurusan wangnya. Ketandusan taqwa dalam mencari rezeki yang berkat dan kependekan akal dalam merancang kewangan diri adalah dua perkara yang kita mahu jauhi dalam diri sendiri dan juga dalam diri bakal pasangan kita, walaupun pasangan kita itu kaya raya.
Kita mungkin terlalu risau soal duit dan perkahwinan sehinggakan kita miss the point tentang apa yang sebenarnya dianjurkan dalam agama.
Apakah kita fikir orang miskin tidak boleh kahwin? Apakah haram untuk orang miskin berkahwin? Apakah kemiskinannya itu menjamin kehancuran rumahtangganya? Ini tidak bermakna kita boleh kahwin tanpa ada satu sen pun dalam poket kita. Ini tidak bermakna kita ambil ringan soal duit dalam perkahwinan. Seperti yang dikatakan sebelum ini, duit itu penting dan tiada sesiapapun yang akan meremehkan kepentingannya.
Tidak dinafikan bahawa salah satu punca penceraian adalah masalah kewangan. Tetapi, dalam masa yang sama, kepentingan duit itu perlu diletakkan dalam konteks prioriti yang lebih besar. Duit bukan segala-galanya dalam perkahwinan.
Kaya boleh merana, dan miskin boleh bahagia. Sekiranya kita mempunyai skil untuk mencari duit yang halal dan mempunyai skil untuk merancang dan mengurus wang dengan baik, bukankah itu antara ciri-ciri calon yang baik?
Bercakap soal muda dan duit pula, menjadi seorang pelajar bukanlah alasan kukuh untuk tidak mempunyai duit. Seorang rakan saya pernah menceritakan bagaimana beliau boleh membiayai pengajian universitinya tanpa biasiswa dan hutang.
Beliau mengumpul duitnya sendiri dengan bekerja satu semester dan belajar satu semester. Walaupun beliau menghabiskan pengajiannya tidak seawal rakan-rakan yang lain, tetapi beliau bebas hutang dan mempunyai skil untuk mencari duit yang halal.
Itu hanyalah satu contoh. Mesejnya adalah kita kadang kala menyempitkan kehidupan kita sendiri apabila kita menyempitkan pilihan-pilihan yang ada. Kita mungkin terlalu taksub dengan pilihan A: kahwin apabila ada duit banyak dan ijazah tinggi. Kita lupa bahawa ada pilihan B hingga Z yang belum kita fikirkan lagi.
Dengan pilihan yang begitu sempit, tidak peliklah mengapa ramai yang hampa dengan prospek untuk berkahwin dan juga tidak pelik mengapa begitu ramai yang menangguh perkahwinan. Mungkin kita perlu berhenti seketika dan kembali kepada asas: apa sebenarnya yang Islam gariskan sebagai ciri-ciri orang yang layak berkahwin?
Kadang kala kita leka dengan aksesori sehingga kita lupakan komponen-komponen wajib yang perlu ada dalam sesuatu perkara yang menjadikan ia berfungsi. Ibarat kereta; kita begitu fokus kepada pelbagai jenis aksesorinya sehinggakan kita lupa untuk menjaga enjinnya.
Fungsi sebuah kereta adalah untuk membawa kita ke destinasi yang kita ingin pergi. Tanpa enjin yang berfungsi, bagaimana kereta itu boleh bergerak? Apakah nilainya aksesori yang cantik dan canggih jika sebuah kereta itu hilang fungsi keretanya?
Samalah juga seperti perkahwinan, ia ada fungsinya. Jadi kita perlu kembali kepada asas-asas perkahwinan agar kita tidak lari daripada fungsi sebenarnya. Jangan pula kita gugur rambut memikirkan perkara-perkara aksesori, hingga kita lupa kepada fungsi. Apabila sudah berkahwin nanti, kita akan sedar bahawa aksesori bukanlah penjamin kebahagiaan.
AIMAN AZLAN

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »

Yakinlah ada sesuatu yang menantimu selepas banyak kesabaran yang kau jalani yang akan membuatmu tersenyum hingga kau lupa pedihnya rasa sakit.

Adakah Anda Masih Belum Bertemu JODOH?